Rabu, 24 Mac 2010

Jangan jadikan N.Sembilan Darul Filun

Fil atau Al Filun ialah gajah dalam bahasa Arab. Terlalu banyak projek gajah putih di N.Sembilan ini hinggakan ada laman web khusus projek terbengkalai di http://terbengkalai.blogspot.com/ dan projek gajah putih di http://gajahputihn9.blogspot.com/

Begitu banyak pembaziran. Duit siapa ?

Jangan jadikan Negeri Sembilan Darul Filun

TERMINAL PENGANGKUTAN LESU
Sinar Harian 24 Mac 2010

BANDAR SERI JEMPOL – Dua terminal pengangkutan bas dan teksi yang sepatutnya menjadi nadi bagi penduduk Bandar Seri Jempol, di sini merupakan salah satu bangunan yang dianggap sebagai projek gajah putih.

Terminal dibina sejak kira-kira dua tahun lalu nampaknya gagal menjadikannya sebagai tempat mengambil dan menurunkan penumpang, berkemungkinan disebabkan lokasinya tidak sesuai.

Hal ini menyebabkan penduduk sekitar tertanya-tanya apakah fungsi sebenar pembinaan terminal itu.


Yang Dipertua PAS Jempol, Abdul Rahman Ramli ketika mendedahkan situasi terminal itu berkata, pembinaan terminal itu sepatutnya menjadi platform bas dan teksi beroperasi bagi mengambil dan menurunkan penumpang tetapi sebaliknya yang berlaku.

Menurutnya, cuma ada peniaga kecil sahaja yang menjalankan perniagaan di situ.

“Ia dibina secara membazir. Yang ada sekarang ini cuma ba-ngunan terminal tetapi pengang-kutan bas dan teksi tidak menjalankan operasi di situ.

“Sebab itu, ia menyukarkan penduduk setempat bagi mendapatkan kemudahan sepatutnya,” katanya.

Beliau berkata, ini dapat dilihat keadaan di terminal bas dan teksi yang begitu hambar dengan ketiadaan bas dan teksi beroperasi.

“Lebih-lebih lagi, terminal terbabit merupakan satu-satunya terminal dibina di bandar ini selain sebuah lagi stesen bas yang jaraknya kira-kira dua kilometer dari terminal tersebut.

“Sepatutnya apabila adanya sebuah terminal di kawasan ini, ia dapat memberikan kemudahan optimum selain memudahkan penduduk luar bandar pergi ke bandar tetapi sebaliknya berlaku.

“Operasi mengambil dan menurunkan penumpang, langsung tidak berlaku di stesen bas itu yang cuma ada sebuah bangunan stesen bas,” katanya.

http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story6906646.asp

TIADA FUNGSI TANPA ELEKTRIK
Sinar Harian 24 Mac 2010

TAMAN INDAH BARU - Projek menelan belanja mencecah ribuan ringgit merugikan apabila setelah siap dibina, menjadi projek gajah putih dan menyakitkan mata.

Daerah Port Dickson tidak terlepas daripada isu itu apabila sebuah bangunan dewan orang ramai tersergam indah tetapi kaku dan terbiar, walaupun lebih lima tahun dibina.

Entah di mana silapnya, bangunan dewan orang ramai itu tidak digunakan walaupun dilengkapi pelbagai kemudahan seperti tempat meletak kereta dan tandas.

Tinjauan Sinar Harian mendapati kawasan dewan dipenuhi lalang dan semak samun, manakala kotak suis utamanya menunjukkan tiada bekalan elektrik dibekalkan ke dewan ini.

Penduduk, Cheok Leong Chon, 53, berkata dewan orang ramai itu hanya sempat digunakan kira-kira dua tahun lalu sebelum terus sepi.

Beliau tidak menafikan suatu ketika dahulu tidak banyak aktiviti dijalankan di dewan itu memandangkan tiada pembangunan perumahan di kawasan berhampiran dewan ini.

“Yang ada ketika itu hanya Taman Indah Baru fasa 1, di sini yang kedudukannya agak jauh dan bilangan penduduk tidak begitu ramai.

“Bagaimanapun, ketika itu sekali sekala kami ada melaksanakan program di dewan berkenaan dan terakhir pada sambutan Pes-ta Tanglung,” katanya.
http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story6906756.asp

DAKWAAN ‘KERAS’ PUNCA TERBIAR
Sinar Harian 24 Mac 2010

TAMPIN – Daerah Tampin tidak terlepas daripada projek gajah putih apabila Hentian Tampin terletak di Kilometer 2 Jalan Tampin-Seremban tersergam kaku tanpa sebarang aktiviti dijalankan, sekali gus mengakibatkan pembaziran.

Walaupun terletak di antara laluan penting jalan raya, namun ia tidak berfungsi dan beroperasi biarpun dilengkapi enam lot gerai di samping kemudahan lain seperti tempat letak kereta, tandas awam, surau, dan taman permainan kanak-kanak.
Difahamkan, puluhan peniaga silih berganti menyewa lot kedai sejak mula dibuka lebih 10 tahun lalu, namun hanya mampu bertahan seketika sebelum gulung tikar seterusnya menutup premis perniagaan masing-masing kerana tiada pelanggan.

Kesan daripada keadaan hentian tidak berfungsi itu, kebanyakan pengguna jalan raya sama ada pemandu lori atau pengunjung luar sering merungut apabila tidak mendapat perkhidmatan diperlukan.

Kakitangan swasta yang mahu dikenali sebagai Megat, 27, meluahkan rasa kecewanya terhadap hentian rehat terbabit kerana tidak dibuka sewaktu melawat rakan di Pulau Sebang, Alor Gajah, Melaka.

“Sunyi sangat tempat ini. Setibanya saya di lokasi, saya fikirkan mampu mendapatkan makanan bagi mengalas perut selepas berjalan jauh dari utara tanah air, namun hampa kerana tidak beroperasi seperti disangka.

“Semua lot kedai, tandas awam dan surau berkunci. Saya percaya projek gajah putih seperti ini menyebabkan ramai pengguna jalan raya khususnya pengunjung luar berasa kecewa, malah menyusahkan pemandu berehat di sini,” katanya.

Megat berkata, tempat seperti itu bukan sahaja menyakitkan hati pengguna jalan raya ingin berehat, malah merosakkan pandangan orang ramai lalu lalang di kawasan berkenaan terutama pada musim perayaan.

Menurutnya, tempat sunyi seperti itu mungkin akan disalah guna pihak tidak bertanggungjawab bagi melakukan aktiviti tidak bermoral seperti maksiat, penyalahgunaan dadah dan ponteng sekolah.

“Saya fikir lebih baik Hentian Tampin ini dibuka semula tidak hanya pada waktu pagi, malah pada waktu malam juga kerana sekurang-kurangnya memudahkan orang ramai singgah berehat sambil menjamu selera,” katanya.

http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story6906673.asp

KEM PENGAKAP MENYERAMKAN
Sinar Harian 24 Mac 2010

REMBAU - Mungkin tidak ramai mengetahui di daerah ini terdapat sebuah Kem Pengakap dahulunya aktif digunakan untuk pelbagai aktiviti, kini terbiar begitu sahaja tanpa penjagaan sewajarnya sehingga menjadi projek gajah putih di daerah ini.

Kem itu dilengkapi bangunan utama mengandungi bilik mesyuarat, ruang pejabat, bilik bacaan dan dewan ceramah.

Selain itu, turut disediakan kemudahan gelanggang permainan, padang perhimpunan, tandas, bilik mandi serta chalet.

Tinjauan Sinar Harian mendapati kemudahan yang ada kebanyakan me-ngalami kerosakan kerana berada dalam rimbunan semak belukar sehingga mencacatkan pemandangan sekeliling.

Difahamkan, sebelum ini keadaan kem masih ceria dan terjaga rapi, namun selepas tahun 2000 situasi jauh berbeza dan Kem Pengakap yang dahulunya dapat berfungsi dengan baik, kini malap.

Kem yang tidak digunakan itu bukan sahaja satu pembaziran kerana ba-ngunan terbabit boleh digunakan untuk pelbagai aktiviti, turut mengundang rungutan penduduk setempat.

Seorang penduduk ditemui, Fakir Mohamad Samsudin, 56, berkata, keadaan persekitaran kawasan kem menyeramkan walaupun pada waktu siang hari kerana ditumbuhi semak.

Menurutnya, keadaan itu membimbangkan penduduk yang tinggal berhampiran kawasan kem terbabit kerana persekitaran berkenaan sering menjadi tempat pembiakan haiwan berbisa seperti ular.

“Lihatlah kawasan kem tidak mustahil jika terdapat haiwan berbisa, selain menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes. Situasi ini tentunya memberi kesan buruk kepada penduduk dalam soal keselamatan dan kesihatan mereka,” katanya ketika ditemui di Kampung Chenong, Chengkau.

“Apabila tempat ini tidak diguna pakai wujud pembaziran kerana bangunan sedia ada kini hanya menunggu masa runtuh menyembah bumi jika tindakan segera tidak diambil,” katanya.

“Tiada siapa mahu menjenguk kem ini menjadikan kem ini seperti ‘kem hantu’ dan terus sunyi sehingga kini tanpa menampakkan sebarang perubahan dilakukan pihak berkaitan,” katanya.
http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story6906628.asp

TIADA PELANGGAN, SEWA ATASI KEUNTUNGAN
Sinar Harian 24 Mac 2010

SELARU – Sekalipun setahun dibina, deretan kedai setingkat di Taman Rasa Sayang, Selaru, di sini, boleh diibaratkan sebagai bangunan gajah putih.

Ini kerana, daripada 10 kedai, hanya dua kedai menjalankan perniagaan, manakala selebihnya masih tidak berpenghuni.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, kawasan itu dipenuhi semak samun seolah-olah kawasan tinggal.

Begitu juga taman perumahan berdekatan dilihat terdapat beberapa rumah tiada penghuni walaupun setahun didirikan.

Tambah menghairankan, kawasan itu walaupun terletak di tepi jalan gagal menarik orang ramai, sekali gus menggagalkan usaha menjadikannya kawasan komersil yang maju.

Masalah itu turut menular kepada dua pengusaha kedai terbabit yang mengaku perniagaan kurang mendapat sambutan.

Pembantu kedai runcit berdekatan, Chin Nyuk Win, 45, ketika ditemui Sinar Harian berkata, selepas hampir setahun beroperasi, hanya segelintir pelanggan datang membeli barangan runcit.

Menurutnya, terda-pat lebih daripada 30 rumah di Taman Rasa Sayang, di sini, sudah berpenghuni, tetapi majoritinya masih kosong.

“Kawasan ini sunyi, kiri kanan dipenuhi semak seolah-olah tiada penghuni, sedangkan mempunyai pemiliknya. Kebiasaannya, waktu pagi hanya dua kedai sahaja dibuka, kedai runcit dan kedai menjual barangan pertanian.

“Saya tutup kedai jam 7 petang kerana bimbang keselama-tan diri meman-dangkan waktu malam tiada lampu serta tidak ramai orang melalui jalan ini,” katanya.

Nyuk Win berkata, dia berharap kawasan itu dapat dihidupkan kembali, ditambah sewa kedai melebihi keuntungan.

“Jika sewa melebihi keuntungan, maka tiada untung. Oleh itu, saya berharap pihak berkaitan dapat membantu menghidupkan semula tempat ini supaya tidak menjadi seperti projek gajah putih, sekali gus pembaziran,” katanya.
http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story6906739.asp