Isnin, 12 April 2010

Bakar geran rumah protes projek lebarkan jalan

Utusan Malaysia 11 April 2010


SEBAHAGIAN penduduk Rumah Rakyat Pasir Panjang, Port Dickson bertindak membakar geran rumah sebagai tanda protes berhubung projek pelebaran jalan di hadapan kediaman mereka yang terbengkalai sejak enam tahun lalu.

--------------------------------------------------------------------------------

TELUK KEMANG 10 April - Geram dan kecewa dengan masalah yang timbul berikutan kelewatan projek pelebaran Jalan Pasir Panjang-Linggi dekat sini, menyebabkan beberapa penduduk bertindak membakar geran asal rumah mereka, hari ini.

Tindakan itu merupakan tanda protes penduduk yang sudah bosan dengan kemelut yang dihadapi termasuklah terpaksa berhadapan banjir lumpur, debu dan risiko kemalangan jalan raya.

Kejadian itu berlaku apabila 24 penduduk daripada 32 pemilik Rumah Rakyat Pasir Panjang, Port Dickson bertindak mengadakan tunjuk perasan dan bantahan terhadap projek Seksyen 1 Pakej B - menaik taraf jalan sejauh 17.5 kilometer itu.

Permasalahan yang mereka hadapi itu telah berlarutan sejak enam tahun lalu dan hari ini mereka sudah hilang sabar.

Wakil penduduk, Rahimuddin Md. Harun berkata, mereka amat kecewa kerana isu itu telah berlanjutan untuk satu tempoh yang lama, tetapi tiada tindakan yang diambil.

"Kami telah membuat aduan berhubung perkara ini, mana tindakannya. Kami amat kecewa dan penjelasan tidak diberikan secara tepat," ujarnya.

Tambah Rahimuddin, walaupun pihak kontraktor memberitahu jalan ini masih dalam pembinaan tetapi masa yang diambil terlalu lama hingga penduduk hilang sabar.

"Pembakaran geran asal itu adalah tanda protes kami terhadap projek lembap ini," ujarnya.

Beliau turut menunjukkan keadaan yang tidak selesa itu sewaktu sidang media diadakan termasuklah kesan banjir lumpur, debu dan situasi tidak selamat dia sekitar kawasan projek.

Rahimuddin menjelaskan berikutan keadaan bercelaru di situ, telah kerap kali berlaku kemalangan jalan raya.

"Lampu pemantul tiada, papan tanda pun entah kemana. Bila waktu malam, suasana ini amat gelap dan membahayakan pengguna jalan raya," ujarnya.

Menurut seorang penduduk, Siti Rohani Muhammad, 28, dia begitu kecewa dengan masalah yang dihadapi sejak berpindah di kawasan berkenaan lima tahun lalu.

"Bukan sahaja banjir, kalau hari tidak hujan, rumah kami berdebu sehingga memaksa saya menutup pintu dan tingkap rumah, saya dah tidak tahan lagi dengan keadaan ini.

"Lebih menyedihkan, baru-baru ini anak saya disahkan menghidap penyakit lelah oleh pakar perubatan ekoran terdedah dengan debu daripada projek yang tidak siap ini," tegasnya.

Md. Harun Abd Ghani, 77, memberitahu, masalah itu telah diadukan kepada pelbagai pihak termasuk membuat laporan polis tetapi malangnya tiada sebarang tindakan yang dibuat.

"Mana hak kami? Cukai pintu bayar, cukai tanah pun kami bayar," katanya.

Pada 17 Februari lalu, seorang penduduk Harun Abd. Ghani telah menerima surat daripada Setiausaha Sulit kepada Menteri Besar, Zulkefkli Awang.

Dalam surat berkenaan dimaklumkan kesemua aspek kejuruteraan tapak, keselamatan dan sosial telah diambil kira dan jajaran yang dicadangkan adalah yang terbaik.

Menurut itu, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) telah mengambil langkah tambahan dengan membina tembok penahan dan longkang baru di hadapan Rumah Rakyat Pasir Panjang, di samping itu longkang baru yang dibina dapat mengalirkan air daripada tembok penahan serta mengelak kejadian banjir berulang.

Sementara itu, Pengarah JKR negeri, Datuk Ir. Roslan Mohd. Taha yang ditemui berhampiran lokasi itu memberitahu, masalah tersebut berpunca daripada kontraktor yang dilantik sebelum ini gagal untuk menyiapkan projek berkenaan ekoran mempunyai masalah dalaman.

"JKR telah melantik kontraktor baru dan projek ini akan diteruskan dan dijangka siap hujung tahun ini," tegasnya.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0411&pub=utusan_malaysia&sec=Selatan&pg=ws_02.htm&arc=hive

Sabtu, 10 April 2010

PENDUDUK BAKAR GERAN RUMAH SEBAGAI PROTES PROJEK JALAN TERBENGKALAI

TELUK KEMANG, 10 April (Bernama) -- Akibat projek pembinaan jalan raya terbengkalai selama enam tahun, 24 penduduk dari Rumah Rakyat Pasir Panjang, Port Dickson nekad membakar geran rumah mereka sebagai tanda protes.

Kerja pelebaran jalan sepanjang 17 kilometer yang menghubungkan Pasir Panjang ke Linggi itu terbiar selepas kontraktor yang dilantik gagal menyiapkan projek itu sehingga menyebabkan banjir lumpur sering terjadi selain keadaan jalan yang membahayakan.

Wakil penduduk yang mengetuai protes itu, Rahimuddin Md Harun berkata penduduk di situ pernah membuat aduan kepada pihak yang bertanggungjawab tetapi tiada satu pun tindakan yang diambil.

"Kita tidak menolak pembangunan tetapi jalan ini sudah terbiar terlalu lama. Bila hujan rumah kami dilanda banjir lumpur, bila kering, debu berterbangan dan permukaan jalan juga tidak selamat," katanya kepada pemberita.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Gerakan Memantau Perkhidmatan Agensi Kerajaan (Gempak) berkata penduduk sudah mula hilang sabar apabila kerap diberitahu bahawa projek itu masih berjalan tetapi sudah enam tahun berlalu dan jalan masih tidak siap-siap.

Seorang lagi penduduk yang ditemui, Siti Rohani Muhammad, 28, berkata anaknya kini menghidap penyakit lelah yang dipercayai akibat debu daripada projek jalan raya yang terbengkalai itu.

"Saya sudah duduk di sini selama lima tahun, memang sudah tidak tahan lagi kalau boleh hendak pindah. Bila kering berdebu dan saya terpaksa tutup pintu dan tingkap rumah tetapi bila hujan, rumah kami pula dilanda banjir lumpur," katanya.

Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Sembilan Datuk Ir Roslan Mohd Taha yang ditemui pemberita ketika menjalankan pemantauan di kawasan itu menjelaskan, projek jalan raya itu terbengkalai akibat kegagalan kontraktor menyiapkan projek itu ekoran masalah dalaman.

Kontraktor lain sudah dilantik untuk meneruskan semula projek itu dan ia dijangka siap menjelang hujung tahun ini, katanya.

Sebuah tembok berukuran 1.5 meter tinggi juga akan dibina di hadapan rumah penduduk yang dilanda banjir lumpur semasa hujan, katanya.

-- BERNAMA

http://www.bernama.com.my/bernama/v5/bm/newsgeneral.php?id=489563