Selasa, 28 Jun 2011

Litar lumba mini terbiar sepi



Litar lumba mini terbiar sepi
Sinar Harian 28 Jun 2011

SEREMBAN – Tujuannnya untuk memberi peluang kepada orang ramai menghabiskan masa dengan aktiviti berfaedah. Bagaimanapun, pembinaan litar lumba mini di Seremban 2, di sini seolah-olah satu pembaziran.

Ini kerana, litar yang popular dengan aktiviti kereta kawalan jauh sejak kira-kira dua tahun lalu itu kini terbiar tanpa sebarang aktiviti, berbanding sebelum ini sebanyak enam kali setahun pertandingan dianjurkan di situ.

Bagaimanapun, disebabkan litar tidak sekata dan tiada kemudahan asas untuk orang ramai, ramai pengemudi kereta mini lari dan bertanding di negeri lain.

Pengerusi Kelab Speed Sideway RC Car Club (SSRCCC) Negeri Sembilan, Mohd Nizar Abd Jabbar berkata, setiap kali pertandingan kereta kawalan jauh dianjurkan di Seremban, peserta sering berdepan situasi kenderaan mereka aterjejas akibat litar kasar dan tidak sekata.

“Kita bukannya nak perhatian lebih, tetapi litar yang ada ini amat teruk dan tidak sesuai lagi dengan kereta kawalan jauh.

“Peserta akan berhadapan dengan masalah tayar dan kondisi kereta yang tidak baik selepas bertanding di litar ini. Selain itu, kemudahan untuk peserta dan pengunjung yang menyaksikan perlumbaan ini juga tiada di sini,” katanya kepada Sinar Harian, di sini semalam.

Mohd Nizar berkata, disebabkan masalah itu, tiada lagi pertandingan diadakan di situ berbanding awal pembinaannya pada 2009.

“Saya juga pernah menyusulkan surat kepada Majlis Perbandaran Seremban (MPS) untuk mereka membaik pulih kawasan litar ini agar lebih ramai yang turun beraksi, namun sehingga kini belum ada jawapan,” katanya.

Mohd Nizar berkata, aktiviti kereta kawalan jauh itu mempunyai pengikut ramai terutama dari seluruh negara, sekali gus mewujudkan aktiviti sihat kepada golongan muda.

http://www.sinarharian.com.my/sh/mns/content/story9234362.asp

Tiada ulasan:

Catat Ulasan