Selasa, 18 Mei 2010

STADIUM BOWLING TERBIAR




Berita Harian 18 Mei 2010

Penduduk bimbang bangunan RM14 juta jadi sarang penagih, maksiat

SEREMBAN: Stadium Bowling Negeri yang terletak berhampiran Stadium Tunku Abdul Rahman Paroi, di sini, baru dibina tetapi sudah tidak lagi digunakan menjadikannya lokasi sesuai untuk pelbagai kegiatan tidak sihat seperti penagihan dadah dan maksiat, jika dibiarkan begitu saja.

Tinjauan Berita Harian mendapati walaupun ada pengawal keselamatan yang menjaga kawasan itu, keadaan pada waktu malam yang gelap dan sunyi masih membolehkan kawasan itu menjadi ‘port’ untuk penagih melepaskan gian dan pasangan kekasih melakukan maksiat.

Apa yang lebih merunsingkan penduduk setempat, bangunan bernilai RM14 juta itu yang sudah lebih dua tahun tidak digunakan, kini dilihat mencacatkan pemandangan malah ada yang tersalah dengan menganggap ia sebagai masjid.

Suri rumah, Rosliza Ahmad Ibrahim, 43, berkata dia tidak mahu bangunan itu disalah guna pihak tertentu terutama penagih dadah atau pasangan kekasih untuk melakukan perbuatan tidak sepatutnya.

“Apa salahnya jika pihak bertanggungjawab tampil dan uruskan bangunan ini seperti sedia kala. Sukan boling kini menjadi pilihan bukan saja kepada remaja tapi juga ibu bapa yang mahu beriadah bersama.

“Malah, seperti yang umum tahu, jabatan kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga kerap menjadikan sukan ini sebagai satu aktiviti untuk mengeratkan silaturahim sesama sendiri setiap hujung minggu atau pada hari keluarga,” katanya di sini.

Peniaga, Kamarulzaman Ali, 50, berkata dia khuatir dengan keadaan itu kerana ia sudah pasti boleh disalahgunakan pihak tidak bertanggungjawab.

Katanya, dia tidak mahu bangunan yang masih elok dan boleh digunakan lagi itu dibiarkan begitu saja kerana ia boleh ditukar fungsi sebagai dewan atau pasar raya.

“Saya yakin jika pihak yang bertanggungjawab mengambil inisiatif mengusahakan semula stadium ini tidak kira sama ada mengekalkan fungsinya atau menukar kepada dewan atau pasar raya pasti ia mendapat sambutan.

“Malah, jika ia dapat dijadikan pasar raya pasti penduduk setempat akan gembira kerana tidak perlu lagi keluar jauh dari taman ini untuk membeli-belah,” katanya.

Mohd Zaidi Abdul Ghani, 28, berpendapat tempat itu lebih sesuai dijadikan tempat rekreasi untuk belia kerana setiap petang pasti ada remaja yang mengambil kesempatan melepak di kawasan luar bangunan berkenaan.

Katanya, bangunan itu kini bukan saja dilihat sebagai merugikan tetapi juga boleh menggalakkan remaja membuang masa tanpa tujuan terutama pada waktu petang kerana lokasinya yang strategik iaitu di tepi jalan.

“Jika bangunan ini dapat dijadikan tempat rekreasi untuk pelbagai jenis aktiviti pasti jumlah remaja yang sering melepak di sekitar taman perumahan ini akan berkurang,” katanya.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/NegeriSembilan_StadiumBowlingterbiar/Article

Tiada ulasan:

Catat Ulasan