Isnin, 24 Mei 2010

Penduduk kecewa pasar besar terbiar

Sinar Harian 24 Mei 2010

AIR KUNING – Penduduk sekitar Air Kuning kesal dan kecewa apabila kemudahan Pasar Besar Air Kuning dinaiktarafkan sejak empat tahun lalu kini bertukar wajah menjadi lokasi semak samun.

Penduduk ditemui, Abdul Aziz Kamis, 48, dari Parit Buloh berkata, lokasi berkenaan sebelum dinaiktaraf jarang dimanfaatkan sepenuhnya peniaga berikutan lokasinya dikatakan kurang sesuai.

Menurutnya, hanya terdapat beberapa orang sahaja berniaga di lokasi berkenaan sebelum dinaiktaraf dan kini kemudahan berkenaan bagaikan sebuah projek gajah putih berikutan dinaiki semak.

“Kita kesal kerana lokasi ini bertukar wajah dan menjadi semak. Kita kesal dengan keadaan pasar besar ini yang perlu dinaiktarafkan sekali gus dimanfaatkan peniaga.

“Oleh itu, kita gesa pihak berkuasa tempatan (PBT) dapat membersihkan lokasi ini kerana kita bimbang sekiranya lokasi ini menjadi tempat pembiakan haiwan berbisa kerana pasar ini terletak di taman perumahan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di lokasi itu.

Mohd Yusri Sulaiman, 44, dari Air Kuning berkata, dia gusar sekiranya lokasi berkenaan menjadi tempat tumpuan golongan tidak bertanggungjawab seperti remaja nakal menjalankan aktiviti tidak berfaedah.

“Oleh itu, kita berharap PBT turun padang dan memantau keadaan sebenar Pasar Besar Air Kuning yang kini dipenuhi semak serta mencacatkan imej Air Kuning.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Gemencheh, Datuk Mohd Kamil Abd Aziz ketika diminta mengulas isu itu berkata, terdapat individu kini dalam proses memohon memajukan Pasar Besar Air Kuning berkenaan untuk dijadikan lokasi aktiviti berkonsepkan kesukanan.

Bagaimanapun, menurutnya, proses berkenaan masih dalam perancangan dan pihaknya mahu melihat perubahan positif terhadap Pasar Besar Air Kuning untuk memastikan lokasi itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya.

http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story7726708.asp

Tiada ulasan:

Catat Ulasan