Khamis, 3 September 2009

Pasar Awam Nilai ‘tunggu’ peniaga

Sinar Harian 2 Sep 2009

Itu suasana yang dapat dilihat di Pasar Awam Nilai dekat sini apabila bangunan pasar yang dibina dipercayai lima tahun lalu tidak mempunyai peniaga hingga kini.

Biarpun bangunan tersebut disediakan dengan kemudahan lengkap selain kawasan selesa, namun tinjauan Sinar Harian kira-kira jam 11.30 pagi mendapati hanya dua peniaga berada di situ.

Pembantu kedai santan, Azlan Abdullah, 40, berkata, sejak setahun bekerja di situ hanya dia dan seorang peniaga ayam beroperasi di pasar terbabit.

Menurutnya, dia sendiri tidak tahu mengapa pasar tersebut dilihat seperti projek ‘gajah putih’ sedangkan ia jauh lebih selesa berbanding Pasar Awam Nilai Sementara di Semarak Nilai yang dilihat sesak dengan keadaan persekitaran yang kotor.

“Pasar di Semarak penuh walaupun kawasannya sempit dan terletak betul-betul di tepi jalan sehingga menyukarkan orang ramai mencari tempat letak kereta.

“Tidak dinafikan memang ada kemudahan meletak kenderaan di dalam dan di luar pasar, namun biasanya ia penuh dan menyebabkan pengunjung terpaksa meletak kenderaan di sebarang jalan,” katanya.

Peniaga ayam Pang Chee Hui, 35, yang mula berniaga di situ kira-kira setahun lalu bersetuju bahawa sudah tiba masanya peniaga Pasar Awam Sementara berpindah ke Pasar Awam Nilai memandangkan kawasannya lebih selesa.

“Mula-mula pasar dibuka, saya berniaga di sini, tapi tiada orang. Jadi, saya pergi ke Pasar Awam Sementara berniaga di sana, namun saya kembali semula kerana di sana kawasannya agak sesak.

“Memang tidak ramai berkunjung ke sini kerana hanya ada dua peniaga sedangkan di sana, semua barang ada dijual,” katanya.

Namun, Chee Hui bernasib baik kerana mempunyai pelanggan tetap apabila menjadi pembekal ayam kepada perniagaan kedai makan.

Bagaimanapun, mereka tidak menafikan peniaga Pasar Awam Sementara enggan berpindah ke pasar ini memandangkan ia kurang strategik dan agak jauh ke dalam selain bimbang perniagaan terjejas.

http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story3904827.asp

Tiada ulasan:

Catat Ulasan